120 Usahawan Kapit Perkukuh Standard Keselamatan Makanan Melalui Kursus MINTRED
KAPIT: Seramai 120 usahawan dan pengendali makanan di Bahagian Kapit menyertai Kursus Pengendalian Makanan yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Kapit, di Kapit Digital Innovation Hub pada Khamis.
Program yang terdiri daripada pengusaha makanan dan minuman, pengusaha katering, penjaja serta individu yang terlibat secara langsung dalam sektor penyediaan makanan itu diadakan untuk meningkatkan standard keselamatan makanan serta memperkukuh profesionalisme dalam kalangan usahawan industri makanan dan minuman.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting termasuk amalan kebersihan diri, keselamatan makanan, pencegahan pencemaran silang, kaedah penyimpanan makanan yang betul serta pengurusan premis makanan yang berkesan.
Penganjuran kursus tersebut turut membantu usahawan memenuhi keperluan pensijilan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan operasi perniagaan dijalankan mengikut piawaian keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.
MINTRED sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan usahawan Sarawak melalui pelbagai program peningkatan kapasiti dan latihan yang mampu meningkatkan daya saing serta profesionalisme usahawan tempatan.
Kerjasama strategik bersama Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Kapit juga mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan komuniti usahawan di kawasan luar bandar mendapat akses kepada latihan dan pembangunan kemahiran yang berkualiti.-EDISI UKAS