Kesatuan Akar Umbi Kunci Kelangsungan Pembangunan Di DUN Layar
BETONG: Kesatuan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat di peringkat akar umbi menjadi faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pelbagai kemajuan yang dinikmati rakyat hari ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan berterusan daripada masyarakat setempat.
Beliau berkata, Sarawak kini sedang menikmati pembangunan pesat khususnya dalam aspek infrastruktur yang memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.
"Kini kita telah menikmati kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak terutama dari aspek infrastruktur seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 dan tidak lama lagi, Jambatan Batang Lupar 2 yang menghubungkan Betong-Sri Aman juga akan siap," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Peringkat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Padeh Ili yang berlangsung di Rumah Panjang Kaki Wong, Padeh, Betong pada Khamis.
Datuk Gerald Rentap turut memuji semangat kerjasama dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta ahli-ahli PBB Ranting Padeh Ili yang disifatkannya sebagai contoh terbaik keutuhan organisasi di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat perlu terus dipelihara bagi memastikan setiap rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, sokongan padu masyarakat terhadap kepimpinan kerajaan membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pembangunan prasarana dan peningkatan taraf sosioekonomi di Bahagian Betong terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).-EDISI UKAS