Kerjasama Sekolah, Ibu Bapa Dan Komuniti Kunci Kejayaan Pendidikan Sarawak
DARO: Kejayaan agenda pendidikan negeri bukan sahaja bergantung kepada dasar dan bantuan kerajaan semata-mata, malah memerlukan sokongan berterusan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr. Safiee Ahmad berkata, usaha memperkukuh sektor pendidikan memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak bagi memastikan setiap anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang dan lokasi.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak terus komited membangunkan modal insan melalui pelbagai inisiatif bantuan pendidikan, penambahbaikan kemudahan sekolah serta pelaksanaan program yang menyokong kecemerlangan pelajar.
“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat.
“Usaha membangunkan pendidikan memerlukan kerjasama semua pihak. Sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu bergerak seiring bagi memastikan anak-anak memperoleh persekitaran pembelajaran yang terbaik serta mampu mencapai potensi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gong Xi Raya Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebaang di sini, pada Khamis.
Dr Safiee turut menegaskan bahawa budaya saling menyokong antara institusi pendidikan dan masyarakat akan menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi yang berilmu, berdaya saing serta berakhlak mulia.
Katanya, hubungan erat antara sekolah dan komuniti setempat penting dalam mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif dan mampu menyokong perkembangan pelajar secara menyeluruh.
Pada majlis tersebut, Dr. Safiee turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM9,000 kepada PIBG SK Kampung Tebaang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan sekolah serta bantuan untuk menjayakan penganjuran Majlis Gong Xi Raya tahun ini.-EDISI UKAS