Kemudahan Pembelajaran Moden Perkukuh Kualiti Pendidikan Generasi Muda
BINTANGOR: Penyediaan kemudahan pembelajaran moden di sekolah merupakan antara usaha penting dalam memastikan pelajar memperoleh pengalaman pendidikan yang lebih berkualiti dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato' Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaburan dalam sektor pendidikan perlu terus diperkasa kerana ia merupakan asas kepada pembangunan modal insan dan masa depan negara.
Beliau berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.
“Kita semua adalah satu keluarga. Tidak kira apa latar belakang kita, anak-anak kita berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar dan membina masa depan mereka. Itulah komitmen saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skrin LED baharu di Dewan SJK(C) Tong Hua sempena Majlis Perasmian Skrin LED, Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Sijil sekolah tersebut pada Khamis.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kemudahan baharu itu bukan sekadar penambahan peralatan sekolah, malah melambangkan komitmen berterusan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan interaktif kepada para pelajar.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan yang diberikan kepada institusi pendidikan adalah berasaskan tanggungjawab untuk memastikan generasi muda mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran terbaik.
Pada majlis sama, beliau turut menyalurkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Lembaga Pengurusan SJK(C) Tong Hua bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program sekolah.-EDISI UKAS