DARO: Pendidikan merupakan medium paling berkesan untuk mengubah taraf hidup serta membuka peluang masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, setiap pelajar perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang ada dengan bersungguh-sungguh kerana kejayaan akademik bukan sahaja mampu mengubah kehidupan diri sendiri, malah berupaya mengangkat martabat keluarga.
“Gunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya. Kejayaan dalam pelajaran bukan sahaja mampu mengubah kehidupan diri sendiri, malah mampu mengangkat martabat dan mengubah nasib keluarga pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Pusat Khidmat DUN N.43 Daro, pada Khamis.
Pada majlis tersebut, seramai 37 pelajar dari kawasan DUN Daro menerima sumbangan insentif sebagai galakan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Dr Safiee, inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma yang diumumkan Kerajaan Sarawak membuka peluang lebih luas kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan.
Untuk rekod, program insentif kemasukan pelajar IPT yang dilaksanakan sejak tahun 2016 itu merupakan usaha berterusan untuk menyokong dan memberi motivasi kepada pelajar Daro mencapai kecemerlangan akademik.
Sejak diperkenalkan, seramai 605 pelajar telah menerima manfaat menerusi program tersebut dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM149,250.-EDISI UKAS