Pameran Raja Kita Perkukuh Pemahaman Institusi Raja Berperlembagaan
BETONG: Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2026 yang dianjurkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 menjadi platform strategik dalam memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap institusi Raja Berperlembagaan serta menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.
Pelancaran awal (soft launching) pameran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu yang mewakili Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini pada Khamis.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan bersama isteri Datin Melinda Claudia Bucking, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Jabatan Premier Sarawak Datu Hamdan Sabrini, Pengarah Penerangan Sarawak Sabri Said serta ketua-ketua jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Pelancaran pameran disempurnakan menerusi acara memotong riben yang menandakan bermulanya pameran berkenaan yang berlangsung dari 11 hingga 14 Jun ini.
Pameran anjuran bersama Jabatan Muzium Malaysia, Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Penerangan Malaysia itu dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 5 petang sepanjang tempoh penganjurannya.
Selesai majlis perasmian, Datuk Gerald bersama isteri Datin Rosemarie Wong serta para tetamu kehormat mengadakan lawatan ke ruang pameran bagi melihat pelbagai bahan dan informasi berkaitan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Lawatan tersebut turut disertai sesi taklimat oleh Pengarah Muzium Diraja, Jabatan Muzium Malaysia, Rohana Husin yang menerangkan sejarah, fungsi serta peranan institusi diraja dalam sistem pemerintahan negara.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Ngajat Ngalu Temuai oleh Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Betong yang mencerminkan kepelbagaian budaya negeri ini.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut meluangkan masa melawat Betong Kitchen yang beroperasi sempena penganjuran program tersebut sehingga 14 Jun ini.
Hari pertama pameran turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar CENTEX Betong dan Kolej Vokasional Betong yang mengambil peluang menimba pengetahuan mengenai institusi beraja secara lebih dekat dan interaktif.-EDISI UKAS