Jurang Tenaga Kerja Di Sri Aman, Betong Perlu Ditangani Segera
SIMANGGANG: Sri Aman dan Betong kini berdepan ketidakseimbangan pasaran buruh apabila kedua-dua kawasan itu mencatatkan lebihan peluang pekerjaan berbanding tenaga kerja yang tersedia.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, data terkini daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan jurang tenaga kerja tersebut perlu ditangani segera bagi memastikan pembangunan ekonomi Sarawak dapat dilaksanakan secara mampan menjelang 2030.
Menurutnya, Sarawak ketika ini hanya mencapai sekitar 26 peratus daripada sasaran pendapatan median isi rumah sebanyak RM15,047 sebulan yang ditetapkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Keadaan ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan dipacu industri bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya ketika merasmikan Program Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK) Sarawak 2030 Talent Bridge di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, program SPEAK diperkenalkan sebagai platform yang menghubungkan pelajar sekolah secara lebih awal dengan dunia pekerjaan melalui perkongsian data pasaran buruh yang tepat kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK).
Katanya, langkah itu penting bagi membantu pelajar membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang selari dengan keperluan industri serta peluang pekerjaan masa depan.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland turut memaklumkan bahawa Sarawak menyasarkan tahap sara diri pengeluaran padi sebanyak 100 peratus menjelang 2030 dengan menjadikan Simanggang dan Betong sebagai kawasan perintis pertanian moden berteknologi tinggi.
Bagi menjayakan agenda pembangunan negeri, beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi akademik dan institusi teknikal menerusi pendekatan G.I.A.T. perlu diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Cabaran tenaga kerja hari ini tidak boleh ditangani secara bersendirian. Ia memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak termasuk institusi pendidikan, pihak industri, media dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggesa lebih banyak syarikat dan pemain industri menyertai program SPEAK dengan berkongsi maklumat berkaitan peluang pekerjaan serta memanfaatkan dana pembangunan sumber manusia bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja masa depan.
Program SPEAK Sarawak 2030 Talent Bridge yang berlangsung di Simanggang itu menghimpunkan 15 agensi yang membuka ruang pameran bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dan pengunjung mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan kerjaya.
Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.-EDISI UKAS