Betong Jadi Tumpuan Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Agong Peringkat Sarawak 2026
BETONG: Bahagian Betong berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik bagi menganjurkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Jun ini.
Kesediaan tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan raptai penuh Majlis Jamuan Teh di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada Jumaat yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan setiap atur cara berlangsung lancar dan teratur.
Seawal jam 10 pagi, petugas daripada pelbagai agensi dilihat sibuk menyelaras setiap aspek pelaksanaan majlis yang bakal menghimpunkan tetamu kenamaan serta rakyat dari seluruh negeri.
Raptai berkenaan disaksikan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Datu Hamdan Sharbini.
Pelaksanaan raptai tersebut turut mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan Bahagian Betong dapat melaksanakan sambutan berprestij peringkat negeri itu dengan jayanya.
Selain persiapan acara rasmi, suasana sambutan turut mula dirasai di sekitar lokasi penganjuran menerusi pelbagai aktiviti dan tarikan yang disediakan kepada pengunjung.
Antaranya termasuk Betong Kitchen yang menampilkan keunikan makanan tempatan serta Pameran Raja Kita yang berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai institusi Raja Berperlembagaan di samping menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Rakyat pada 14 Jun yang dijangka menjadi antara acara paling dinantikan masyarakat setempat.
Persembahan artis terkenal seperti Aina Abdul, Ramles Walter, Mawat, Carrie Gares, Masterpiece, Stanley dan Chien dijangka menarik ribuan pengunjung ke perkarangan Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.
Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada Majlis Kesyukuran dan Majlis Jamuan Teh bakal menjadi kemuncak sambutan yang berlangsung selama dua hari itu.-EDISI UKAS