16 Kelab Berdaftar Dalam Tempoh Empat Tahun, Pickleball Kuching Terus Berkembang
KUCHING: Sukan pickleball di Kuching terus mencatat perkembangan memberangsangkan apabila jumlah kelab berdaftar meningkat daripada sifar pada tahun 2022 kepada 16 kelab pada tahun ini.
Presiden Persatuan Pickleball Kuching (KPA), Ruslan Bujang berkata, pertumbuhan tersebut mencerminkan minat dan komitmen yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap pembangunan sukan pickleball di Sarawak.
“Pada tahun 2022, tiada satu pun kelab pickleball berdaftar di Kuching. Hari ini, kita mempunyai 16 kelab berdaftar di seluruh bandar ini.
“Pertumbuhan luar biasa ini menunjukkan minat, komitmen dan semangat komuniti dalam membangunkan pickleball sebagai sukan yang mampan serta inklusif,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurut beliau, komuniti pickleball di Kuching sebenarnya jauh lebih besar berbanding jumlah kelab yang berdaftar.
Katanya, sejak tahun 2024, lebih 50 kumpulan sosial dan komuniti permainan telah diwujudkan menerusi platform RECLUB, sekali gus membuktikan peningkatan populariti sukan berkenaan di bandar raya tersebut.
Dalam pada itu, Ruslan memaklumkan KPA akan mengambil langkah memperkukuh ekosistem kelab dengan hanya memberikan pengiktirafan kepada kejohanan yang dianjurkan oleh kelab berdaftar bermula tahun 2027.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada program atau kejohanan yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan, agensi kerajaan dan badan berkanun.
Jelasnya, langkah tersebut bertujuan menggalakkan komuniti pickleball memperkemas struktur organisasi masing-masing selain membuka peluang lebih luas untuk mendapatkan tajaan, geran, latihan dan kerjasama strategik.
Kejohanan yang mempertandingkan kategori Beregu Lelaki Terbuka, Beregu Veteran Lelaki, Beregu Wanita Terbuka dan Beregu Campuran itu menyaksikan Hornbills Pickleball Club muncul juara keseluruhan, diikuti Berami Pickleball Club sebagai naib juara.
Sementara itu, Frecision Pickleball Club menduduki tempat ketiga manakala SLPAS Pickleball Club di tempat keempat. -EDISI UKAS