Jalan Kampung 4 KM di Sungai Gaat Dirasmikan, Tingkat Akses Penduduk
KAPIT: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Jalan Kampung ke Rumah Ragai, Sungai Gaat sepanjang empat kilometer yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan meningkatkan kemudahan akses serta memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan dan pembangunan yang lebih baik.
Beliau berkata, walaupun projek jalan tersebut masih berada pada peringkat awal pembangunan, ia merupakan langkah penting ke arah memperkukuh jaringan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada komuniti setempat.
“Dengan terbinanya jalan ini, penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dan tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan yang dinikmati kawasan lain,” katanya ketika merasmikan projek berkenaan di Rumah Ragai, Sungai Gaat, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperluas pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak.
Majlis kemudian diteruskan dengan simbolik Ngiling Bidai sebagai tanda penutupan sambutan Hari Gawai sebelum diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama penduduk.
Turut hadir ialah wakil Pejabat Daerah Bukit Mabong George SAO, wakil Pejabat Residen Kapit Roland, serta ketua masyarakat dan ketua kaum kawasan berkenaan.-EDISI UKAS