Insentif Pendidikan RM12,900 Disalur Kepada 43 Pelajar DUN Balingian
MUKAH: Seramai 43 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima Insentif Pendidikan DUN N58 berjumlah RM12,900.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, pemberian insentif itu merupakan tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, inisiatif tersebut antara suntikan motivasi kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita serta mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Saya berharap insentif yang diberikan ini menjadi galakan kepada pelajar untuk terus berusaha menjadi insan yang berilmu, berkemahiran dan berbakti kepada masyarakat serta negeri Sarawak.
“Belajarlah bersungguh-sungguh, jaga nama baik keluarga dan kawasan Balingian serta kembali ke kawasan kita kelak untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri yang kita cintai,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan insentif tersebut, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Abdul Yakub menegaskan bahawa usaha memperkasakan pendidikan perlu terus diberi keutamaan.
Menurutnya, ini kerana golongan muda merupakan aset penting yang akan menentukan hala tuju pembangunan masyarakat dan negeri pada masa akan datang.-EDISI UKAS