KMKK Perlu Lebih Proaktif Jalankan Tanggungjawab Sebagai Penghubung Kerajaan Dengan Rakyat
ASAJAYA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran terus memainkan peranan proaktif sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan pembangunan kawasan dilaksanakan secara inklusif serta memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, KMKK perlu sentiasa peka terhadap kebajikan masyarakat khususnya golongan warga emas, individu yang uzur atau sakit, keluarga kurang berkemampuan serta golongan belia yang memerlukan perhatian dan bimbingan.
Katanya, KMKK merupakan mata, telinga dan suara kerajaan di peringkat akar umbi yang berperanan menyalurkan maklumat tepat mengenai keperluan serta isu yang dihadapi rakyat.
“Peranan KMKK amat besar kerana mereka yang paling dekat dengan masyarakat. Maklumat serta pandangan daripada KMKK membantu kerajaan memahami keadaan sebenar di setiap kampung,” ujarnya dalam sesi perjumpaan, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerjasama erat antara KMKK, agensi kerajaan dan masyarakat akan terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan Asajaya dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau menjelaskan ianya bukan sahaja memberi ruang kepada KMKK menyuarakan isu dan cabaran yang dihadapi penduduk di kampung masing-masing, malah menjadi medan bertukar pandangan serta mengemukakan cadangan baharu bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kita amat mengalu-alukan setiap cadangan yang bernas kerana pembangunan kampung bukan hanya berkisar kepada menyelesaikan masalah, tetapi juga bagaimana kita dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh sosioekonomi masyarakat perlu diberi perhatian menerusi pelaksanaan program yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS