Bekalan Air Miri Pulih Sepenuhnya Selepas Kerja Baik Pulih Paip Utama Selesai
MIRI: Bekalan air di semua kawasan yang terjejas di Miri kini pulih sepenuhnya selepas kerja-kerja baik pulih paip utama berdiameter 1,100 milimeter di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu berjaya diselesaikan, sekali gus menamatkan gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk, premis perniagaan dan institusi di bandar raya ini sejak beberapa hari lalu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kejayaan pemulihan bekalan air tersebut merupakan hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, penyedia utiliti, organisasi masyarakat, petugas barisan hadapan, media, sukarelawan dan orang awam.
Menurut beliau, situasi yang berlaku sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu memperlihatkan semangat kerjasama, komitmen dan perpaduan komuniti yang tinggi dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
Katanya, walaupun notis awal telah dikeluarkan dan pengguna dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya sebelum kerja-kerja pembaikan dijalankan, beliau memahami kesulitan yang dihadapi oleh keluarga, perniagaan, sekolah, hospital dan institusi lain yang terjejas akibat gangguan bekalan tersebut.
Beliau berkata sepanjang operasi pembaikan dan pemulihan berlangsung, beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan mengekalkan hubungan rapat bersama Sarawak Water serta agensi-agensi berkaitan.
Malah, beliau turut turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan kerja-kerja pembaikan, lokasi pengagihan bekalan air serta kawasan-kawasan yang terjejas selain bertemu penduduk dan petugas yang bertugas di lapangan.
Menurut beliau, dedikasi serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat amat mengagumkan apabila mereka sanggup bekerja tanpa mengira masa termasuk pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca yang mencabar.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan hujan lebat yang berlaku pada suatu ketika sepanjang operasi pembaikan telah memperlahankan pelaksanaan kerja dan mewujudkan cabaran tambahan dari aspek teknikal serta kejuruteraan.
Bagaimanapun, keadaan cuaca yang sukar dan tapak kerja yang berlumpur tidak mematahkan semangat pasukan pembaikan yang terus berusaha bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat diselesaikan dengan selamat serta secepat mungkin.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water yang menerajui usaha pembaikan dan pemulihan bekalan air serta semua agensi dan organisasi yang memainkan peranan penting sepanjang operasi tersebut.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Energy, Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri (MCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hospital Miri, rakan-rakan media, sukarelawan serta individu yang turut menyumbang kepada kejayaan operasi berkenaan.
Beliau berkata setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan operasi tersebut berjaya dilaksanakan sama ada sebagai jurutera, kakitangan teknikal, kontraktor, anggota penguat kuasa, petugas kecemasan, petugas kesihatan, pentadbir, pemimpin masyarakat, media mahupun sukarelawan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Miri atas kesabaran, pemahaman dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pemulihan bekalan air tersebut.
Menurutnya, pengalaman berkenaan sekali lagi membuktikan bahawa cabaran dapat diatasi apabila agensi kerajaan, penyedia utiliti, organisasi masyarakat dan rakyat bekerjasama dalam satu pasukan demi kepentingan bersama.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam apa jua bentuk bagi menjayakan usaha pemulihan bekalan air tersebut.
Katanya, kejayaan memulihkan bekalan air itu merupakan cerminan semangat Segulai Sejalai yang sentiasa menjadi kekuatan masyarakat Sarawak dalam menghadapi sebarang cabaran secara bersama.- EDISI UKAS