Sukan Medium Bentuk Sahsiah, Perpaduan Dan Kepimpinan Generasi Muda
MIRI: Sukan perlu terus diperkasakan sebagai platform membentuk sahsiah, memupuk perpaduan serta mencungkil bakat generasi muda yang berpotensi mengharumkan nama negeri dan negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata sukan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya medium penting dalam melahirkan pelajar yang berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.
Menurut beliau, penglibatan aktif dalam bidang sukan turut membantu membentuk karakter serta kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal untuk mengeluarkan peluh. Di padang inilah para pelajar belajar tentang disiplin, daya tahan dan semangat untuk bangkit semula selepas menghadapi cabaran.
“Melalui sukan juga, pelajar belajar bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira latar belakang, sekali gus menyemai semangat perpaduan yang menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua (CF) Miri di Stadium Miri pada Jumaat.
Datuk Sebastian Ting berkata kecemerlangan akademik dan pencapaian dalam bidang sukan perlu bergerak seiring bagi melahirkan modal insan yang seimbang serta berkualiti.
Katanya, sukan bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah menyumbang kepada pembentukan minda yang lebih fokus, positif dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Alumni Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar.
Menurutnya, kerjasama erat antara pihak sekolah dan komuniti merupakan faktor penting yang menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha pembangunan pendidikan dan bakat anak muda di kawasan Miri.
“Saya akan terus memberikan sokongan dalam apa jua kapasiti yang mampu. Di mana ada keperluan untuk pembangunan sekolah atau bakat pelajar, saya dan pejabat saya akan cuba sedaya upaya membantu demi masa depan anak-anak Miri,” ujarnya.
Beliau berharap kejohanan tersebut menjadi platform untuk mencungkil lebih ramai bakat sukan yang berpotensi mewakili sekolah, negeri dan negara pada masa hadapan, selaras dengan usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak tinggi.— EDISI UKAS