KOTA SAMARAHAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disifatkan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi dapat ditangani secara berkesan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, Sesi Perjumpaan KMKK Daerah Samarahan yang diadakan di Dewan Suarah Kota Samarahan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan dalam merangka pembangunan kawasan secara menyeluruh.
Menurut beliau, sesi tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada KMKK menyuarakan permasalahan yang dihadapi penduduk di kampung masing-masing, malah menjadi medan pertukaran pandangan dan perkongsian idea bagi mempercepatkan usaha pembangunan di daerah berkenaan.
“Pelbagai perkara telah dibangkitkan termasuk isu kemudahan jalan yang menghubungkan kampung dengan jalan raya utama, gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku serta tahap capaian internet yang masih perlu dipertingkatkan.
“Perbincangan seperti ini amat penting kerana KMKK merupakan penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat dalam menyampaikan isu serta keperluan sebenar di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perjumpaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Samarahan, di sini pada Jumaat.
Datuk Rubiah turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kampung tidak seharusnya tertumpu kepada penyelesaian masalah semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan bersama bagi mewujudkan lebih banyak peluang yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua KMKK agar terus memainkan peranan aktif dengan sentiasa peka terhadap kebajikan penduduk, khususnya golongan warga emas, individu yang uzur atau sakit, keluarga yang memerlukan bantuan serta aspek pembangunan generasi muda.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa pandangan dan suara golongan belia perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan pewaris yang akan meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan kawasan pada masa hadapan.
Beliau berharap semangat kerjasama antara KMKK, agensi kerajaan dan masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemajuan Kota Samarahan dapat dicapai secara berterusan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak. -EDISI UKAS