Mackos Sibong Dilantik Residen Bahagian Serian Baharu
SERIAN: Bahagian Serian memasuki fasa baharu pentadbiran apabila Mackos Sibong secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Residen Bahagian Serian yang baharu dalam Majlis Serah Tugas, Penghargaan dan Sambutan Residen Bahagian Serian di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Jumaat.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben.
Turut hadir Ahli Parlimen Serian Dato Sri Dr Richard Riot Jaem, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus, mantan Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap serta Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Datuk Ik Pahon Joyik.
Dalam ucapan sulungnya, Mackos menegaskan komitmen untuk meneruskan momentum pembangunan yang telah dirintis oleh Caroline dengan memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi masyarakat di Bahagian Serian.
Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat merupakan faktor utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap serta pelaksanaan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Saya berharap dapat meneruskan agenda transformasi yang telah dimulakan oleh Caroline, khususnya dalam aspek pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi masyarakat di Bahagian Serian.
“Kerjasama dan semangat berpasukan amat penting dalam memastikan rakyat menerima manfaat pembangunan yang dirancang oleh kerajaan,” katanya.
Mackos yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam Perkhidmatan Tadbir Sarawak pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Daerah Kecil, Pegawai Daerah, Timbalan Residen serta di Unit Perancang Ekonomi Sarawak.
Pengalaman bertugas di kawasan pedalaman seperti Kapit, Marudi, Baram dan Long Lama turut memberikan beliau pemahaman mendalam mengenai keperluan rakyat serta cabaran pembangunan luar bandar.
Beliau turut menyeru semua ketua jabatan, penjawat awam dan pemimpin masyarakat agar terus berganding bahu menjayakan aspirasi pembangunan Sarawak termasuk agenda ekonomi digital, ekonomi hijau dan pembangunan bakat.
Sementara itu, Caroline dalam ucapan perpisahannya melahirkan rasa syukur atas peluang berkhidmat selama empat tahun di Bahagian Serian dan menyifatkan tempoh tersebut sebagai pengalaman yang amat bermakna.
Beliau yang akan memulakan tugas baharu di Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) berkata, pertukaran tempat bertugas merupakan lumrah dalam perkhidmatan awam serta peluang untuk terus menyumbang dalam kapasiti yang berbeza.
Menurut beliau, pelbagai cabaran termasuk bencana banjir serta gangguan bekalan air dan elektrik berjaya ditangani menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua wakil rakyat, ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga kerja Pejabat Residen dan Daerah yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya. -EDISI UKAS