KUCHING: Penganjuran Diffusion Borneo 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperluas peluang pelaburan, memperkukuh ekosistem inovasi serta membuka jaringan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Pengerusi Sarawak Business Angel Network (SBAN), Dato Patrick Liew berkata platform bertaraf antarabangsa seperti Diffusion Borneo penting dalam menghubungkan usahawan, pelabur, syarikat pemula niaga (startup) dan pemain industri tempatan dengan komuniti perniagaan global.
Menurut beliau, penganjuran acara tersebut memberi peluang kepada Sarawak untuk mempamerkan potensi ekonomi negeri di samping menarik lebih banyak pelaburan serta kerjasama strategik dari luar negara.
“Saya amat berbesar hati kerana Eric membawa acara ini ke Sarawak. Saya percaya penganjurannya amat bermakna dan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, lebih-lebih lagi dengan kehadiran tetamu dari pelbagai negara seperti yang telah dinyatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman rasmi Diffusion Borneo 2026 di Icube Icom Square pada Jumaat.
Tambah beliau, kehadiran peserta dan pelabur dari pelbagai negara bukan sahaja memberi pendedahan kepada komuniti perniagaan tempatan, malah membuka ruang kepada pelabur antarabangsa untuk meneroka potensi yang terdapat di Sarawak.
“Saya percaya ramai dalam kalangan mereka pertama kali berkunjung ke Sarawak dan ini memberi peluang kepada negeri ini untuk menonjolkan lebih banyak potensi yang ada serta membolehkan mereka meneroka bidang yang boleh diceburi untuk kerjasama atau pelaburan,” ujarnya.
Dato Patrick berkata Sarawak memiliki pelbagai kelebihan kompetitif termasuk kestabilan politik, sumber semula jadi yang melimpah serta dasar pembangunan yang progresif, sekali gus menjadikan negeri ini destinasi yang semakin menarik kepada pelabur.
Menurut beliau, platform seperti Diffusion Borneo mampu mempercepat usaha memperkenalkan Sarawak sebagai hab inovasi dan pelaburan baharu di rantau ini, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sementara itu, Pengasas Diffusion dan Rakan Pengurusan Serantau Digital Districts, Eric Lee berkata Diffusion Borneo diwujudkan sebagai platform yang menghimpunkan modal, teknologi, bakat dan dasar bagi memacu pembangunan ekonomi masa depan Sarawak dan Borneo.
Katanya, acara yang akan berlangsung pada 23 hingga 24 Jun ini memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu Peralihan dan Keselamatan Tenaga, AgriTek dan Bioekonomi serta Ekonomi Kreatif dan Pelancongan Mampan.
Diffusion Borneo 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta dari pelbagai negara termasuk Jerman, Finland, Estonia, Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei melibatkan pelabur, penggubal dasar, penyelidik, usahawan serta syarikat pemula niaga.
Penganjuran acara tersebut dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan dan inovasi serantau selain membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi, pembangunan bakat dan pemindahan teknologi pada masa hadapan.-EDISI UKAS