KIK Perlu Jadi Pemangkin Transformasi Perkhidmatan Awam, Bukan Sekadar Pertandingan
KUCHING: Projek yang dihasilkan menerusi Konvenysen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) tidak seharusnya terhenti sebagai penyertaan pertandingan semata-mata, sebaliknya perlu diguna pakai, direplikasi dan diperluaskan pelaksanaannya bagi memacu transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap idea dan inovasi yang diketengahkan mampu diterjemahkan kepada keberhasilan sebenar untuk memenuhi tuntutan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas, dinamik dan berorientasikan hasil.
“Mini Konvensyen KIK telah menjadi mekanisme strategik yang memacu evolusi penyampaian perkhidmatan awam bagi memastikan setiap projek KIK yang diketengahkan bermula dengan sasaran keberhasilan berimpak tinggi dan diselaraskan berpandukan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) sebagai tunjang utama pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Mini Konvensyen KIK Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan bahawa inovasi yang dibangunkan tidak seharusnya terhad kepada kegunaan sesebuah agensi sahaja, sebaliknya perlu mempunyai potensi untuk disesuaikan dan diperluaskan penggunaannya oleh agensi lain melalui pendekatan Menyeluruh Kerajaan (Whole-of-Government).
Difahamkan, Mini Konvensyen KIK 2026 telah menghimpunkan 17 kumpulan melibatkan lebih 123 warga kerja MTCP dan MYSED dari seluruh Sarawak.
Daripada MTCP, Kumpulan CITRA menggondol tempat pertama untuk mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala Kumpulan MUSES mendapat tempat kedua dengan wang tunai sebanyak RM1,500.
Sementara itu, daripada MYSED pula menyaksikan kumpulan OPTIMUS mendapat gelaran johan untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Manakala kumpulan Impact V3nus dan kumpulan MASPINE masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap MTCP Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap MYSED Dzulkornain Masron, Pegawai Tadbir Khas MTCP Datu Dr Rashidah Bolhassan serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS