‘High Performance Centre’ Sarawak Dijangka Dibina Selepas Sukan SEA 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) merancang membangunkan sebuah ‘high performance centre’ berteknologi tinggi di kawasan Kompleks Sukan Sarawak sebagai langkah strategik memperkukuh pembangunan atlet elit dan melonjakkan pencapaian sukan negeri ke peringkat antarabangsa.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kewujudan pusat berkenaan amat penting bagi mana-mana negeri atau negara yang berhasrat mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Menurut beliau, lokasi bagi pembinaan pusat tersebut telah dikenal pasti di dalam Kompleks Sukan Sarawak dan kini berada pada peringkat perancangan serta kajian.
“Kami telah melawat beberapa negara termasuk New Zealand, Korea Selatan dan Australia untuk mengkaji bagaimana mereka membangunkan pusat prestasi tinggi.
“Ia tidak semestinya bersaiz besar, namun perlu dilengkapi kemudahan dan teknologi yang mampu memperhalusi prestasi atlet elit yang telah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui media, di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai pelaksanaan projek, Dato Sri Abdul Karim berkata fokus kerajaan ketika ini adalah terhadap persiapan penganjuran Sukan SEA 2027, justeru pembinaan pusat tersebut dijangka bermula selepas temasya itu berlangsung.
“Tetapi persediaan seperti dokumentasi, urusan kertas kerja dan segala perkara berkaitan, termasuk pemilihan tapak, perlu kita laksanakan mulai sekarang,” jelasnya.
Pusat ini nanti dedahnya akan mengadaptasi model pembangunan sukan yang digunakan di Australia dan New Zealand memandangkan kedua-dua negara tersebut mempunyai rekod cemerlang dalam melahirkan atlet bertaraf Olimpik.
Katanya lagi, projek berkenaan akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama dan sokongan daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN), khususnya dalam penyediaan kepakaran sains sukan. -EDISI UKAS