CEPA & Kem Hutan SK Paku Sri Aman Perkasa Ilmu Hutan Kepada Murid
SRI AMAN: Jabatan Hutan Sarawak melalui Pejabat Hutan Wilayah Sri Aman telah mengadakan Program 'Communication, Edication and Public Awareness' (CEPA) dan Kem Hutan selama dua hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Sri Aman.
Ia telah bermula semenjak Khamis dan melibatkan penyertaan seramai 25 murid Tahun 4, 5 serta 6 dari SK Paku Sri Aman dan telah berakhir melalui majlis penangguhan program itu yang dirasmikan oleh Pegawai Hutan Wilayah Sri Aman, Syafiani Osman pada Jumaat.
Syafiani melalui ucapanya memberithau program ini merupakan satu usaha Jabatan Hutan Sarawak untuk memperkenal dunia perhutanan kepada generasi muda seawal peringkat sekolah rendah.
"Program ini dirangka berasaskan konsep "Belajar Sambil Meneroka" dengan para murid dibawa keluar dari bilik darjah untuk menyelami sendiri keunikan ekosistem hutan yang terdapat di Sarawak.
"Mereka juga turut dididik mengenai kepentingan Hutan Simpan Kekal atau 'Permanent Forests' (PFE) yang berfungsi sebagai benteng ekologi dalam membekalkan perkhidmatan ekosistem kritikal seperti tadahan air, kawalan hakisan serta habitat biodiversiti yang tidak ternilai," katanya.
Beliau dalam ucapannya juga turut memberitahu terdapat enam PFE berada di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Wilayah Sri Aman dan menjadi sebahagian daripada 123 buah PFE yang terdapat di Sarawak dengan luas keseluruhan sebanyak 4,149,010 hektar.
"Melalui inisiatif CEPA ini, aspek komunikasi dan pendidikan digabungkan bagi mendedahkan fungsi sebenar hutan daripada membekalkan oksigen dan air bersih, sehinggalah menjadi rumah kepada hidupan liar yang ikonik.
"Justeru, meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan PFE di Sri Aman telah menjadi salah satu objektif program ini kerana tanpa pendedahan yang betul para murid mungkin hanya melihat hutan sebagai sekumpulan pokok semata-mata," katanya.
Hadir sama, wakil Ketua Bahagian Pewartaan dan Konservasi Dr Ahmad Ampeng, Guru Besar SK Paku Sri Aman Kanang Impin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Ting Sing Ren dan Penyelaras Program Mallwaldron Lawan. -EDISI UKAS