Datu Kueh Lei Poh Diraikan Sempena Persaraan Selepas 38 Tahun Berkhidmat
MUKAH: Tiga dekad lebih menabur bakti dalam perkhidmatan awam berakhir dengan penuh penghargaan apabila Mantan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh diraikan dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi sempena persaraannya pada Jumaat.
Datu Kueh menyifatkan 38 tahun dalam perkhidmatan awam sebagai satu perjalanan yang cukup bermakna kerana memberinya peluang mendekati rakyat, memahami keperluan masyarakat serta menyaksikan sendiri perubahan pembangunan yang berlaku di Sarawak.
Beliau berkata, pengalaman berkhidmat bersama masyarakat akar umbi di pelbagai kawasan, khususnya di Bahagian Mukah, banyak mencorakkan keperibadiannya sebagai seorang penjawat awam.
“Hubungan yang terjalin dengan masyarakat akar umbi inilah yang menjadikan perjalanan kerjaya saya begitu bermakna dan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Dalam pada itu, Datu Kueh turut menyifatkan peluang turun padang dan bertemu masyarakat secara langsung sebagai pengalaman yang amat berharga sepanjang kerjayanya kerana dapat melihat sendiri cabaran yang mereka hadapi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga perkhidmatan awam agar terus melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Sementara itu, Pemangku Residen Bahagian Mukah Shafrie Sailie menyifatkan Datu Kueh merupakan seorang pemimpin yang berwibawa, berdisiplin tinggi serta komited dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
"Jasa Datu akan sentiasa diingati dan kenangan bersama akan kekal terpahat dalam ingatan.
"Terima kasih atas kepimpinan yang berhemah, ketegasan yang berprinsip serta keprihatinan terhadap warga kerja," tambahnya.
Hadir dalam majlis tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine, ADUN Daro Dr Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS