Keharmonian Masyarakat Aset Penting Percepat Pembangunan Negeri
KUCHING: Semangat perpaduan dan keharmonian yang kukuh dalam kalangan masyarakat merupakan aset penting yang mampu mempercepatkan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di sesuatu kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerjasama erat antara masyarakat perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kejayaan pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan.
Menurut beliau, sambutan perayaan seperti Hari Gawai bukan sekadar meraikan budaya dan tradisi masyarakat, malah menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat muafakat dalam komuniti berbilang kaum.
“Perpaduan merupakan aset yang sangat berharga dan perlu sentiasa dipelihara.
“Apabila masyarakat hidup dalam suasana yang bersatu padu, pelbagai urusan pembangunan dan kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Gawai KJM Gita di Dewan Serbaguna Pinang Jawa, di sini, pada Jumaat.
Dato Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, pembangunan sesebuah kawasan memerlukan kerjasama berterusan antara pemimpin dan masyarakat bagi memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa pelbagai isu dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan akan terus diberi perhatian serta diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik secara berperingkat.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ts Mohamad Faisal Adenan. -EDISI UKAS