ADUN Opar Salur Sumbangan Tahunan RM10,000 Kepada PIBG SMK Senibong
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang menyalurkan sumbangan tahunan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong.
Menurut beliau, sumbangan tersebut bertujuan membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai program pendidikan, pembangunan sahsiah serta aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar dan warga sekolah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival KASUBA 2.0 dan Majlis Perasmian Galeri Sejarah SMK Senibong 2026 di SMK Senibong, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa mengutamakan pendidikan dan menjadikan ilmu sebagai kunci kejayaan dalam kehidupan.
Menyentuh mengenai prasarana sekolah, Billy menegaskan bahawa beberapa keperluan infrastruktur masih memerlukan perhatian termasuk isu bekalan air, ketiadaan dewan sekolah serta keadaan pagar yang perlu dinaik taraf bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak sekolah untuk terus mengemukakan cadangan projek melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan dana Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Billy turut menyuarakan keyakinan bahawa SMK Senibong berpotensi melahirkan lebih ramai pemimpin, profesional dan individu berjaya dalam tempoh sedekad akan datang sekiranya kecemerlangan akademik dan kokurikulum terus diperkasakan.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lundu Calvin Chang, Pengetua SMK Senibong Hasnah Daud dan Pengetua SMK Lundu Mohamad Azizan Madihi. -EDISI UKAS