The Opera C Band Juara Battle of The Band Pesta Gawai Serembu 2026
BAU: Kumpulan The Opera C Band muncul juara Pertandingan Terbuka Battle of The Band sempena Pesta Gawai Serembu 2026 selepas berjaya menewaskan sembilan kumpulan lain dalam pertandingan yang berlangsung pada hari pertama pesta tersebut, semalam.
Pesta Gawai Serembu 2026 membuka tirainya pada 12 hingga 13 Jun ini menampilkan pelbagai acara menarik bagi memeriahkan sambutan Gawai di kawasan Serembu.
Pertandingan Battle of The Band yang menjadi antara acara utama menyaksikan penyertaan 10 kumpulan dari dalam dan luar kawasan Serembu.
Selepas melalui persaingan sengit serta penilaian barisan juri, The Opera C Band dinobatkan sebagai juara, manakala kumpulan The Silent Killer muncul naib juara.
Semua pemenang membawa pulang trofi, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan persembahan cemerlang yang dipamerkan sepanjang pertandingan.
Turut hadir memeriahkan acara tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh yang diiringi Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.
Kehadiran para pemimpin masyarakat bersama pengunjung dari pelbagai kawasan telah menambahkan lagi kemeriahan suasana Pesta Gawai Serembu 2026.-EDISI UKAS