SIBU: Cabaran Muaythai Amatur Sibu 2026 membuka tirainya di Dewan MUC Sibu semalam dengan penyertaan seramai 120 orang peserta termasuk dari Kalimantan Barat berentap dalam pelbagai kategori hingga Sabtu.
Dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sibu, kejohanan berprestij ini turut mendapat kelulusan rasmi penganjuran dari Pesuruhajaya Sukan Malaysia dan sokongan daripada badan induk kebangsaan, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
Selain itu, ia juga disokong penuh dan dikuasakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Sesi pengenalan atlet dan kelab diadakan malam tadi dengan kehadiran Wakil Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Cr. Abg Kamalludin Ang Hamdan, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muaythai Bahagian Sibu Tan Eng Chung, Pengerusi Kelab Melayu Kg. Nyabor (MUC) Sibu Anuar Taha serta wakil dari SSC Alexander Sirai dan Mikar Changgan.
Jumaat dalam ucapan berkata, penganjuran cabaran tersebut merupakan komitmen berterusan PMNS dalam memperkasakan sukan muaythai yang kini semakin popular dalam kalangan belia di negeri ini.
Melaluinya jelas beliau, PMNS dapat mencungkil seramai mungkin bakat baharu untuk mewakili negeri baik di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa bagi memastikan nama Sarawak terus berada sebaris dengan kuasa sukan muaythai di rantau ini.
“Sehubungan itu, kita menyambut baik sokongan dari persatuan-persatuan sukan muaythai di seluruh negeri ini yang mahu bekerjasama dengan PMNS untuk menganjurkan program seperti ini.
“Kita akan teruskan kerana ia platform penting bagi melahirkan lebih ramai atlet muaythai yang berpotensi untuk mewakili Sarawak,” katanya semasa berucap.
Pada masa sama jelas Jumaat, penganjuran cabaran tersebut secara tidak langsung membantu mempromosi Sibu kepada pengunjung dari luar khasnya dari negara jiran Indonesia.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak khasnya KBS dan SSC atas sokongan memastikan usaha PMNS dalam memartabatkan muaythai diteruskan hingga sekarang.
Sesi pengenalan malam tadi dimeriahkan dengan persembahan tiga seni beladiri antaranya Perguruan Mayang Mengurai Sarawak dan penampilan istimewa Pusaka Borneo Kalimantan Barat.
Terdahulu pada sebelah petang diadakan program interaktif ‘Mari Mencuba Sukan Muaythai’ yang dikendalikan oleh atlet Sarawak, Aman Koboi.
Kehangatan cabaran diteruskan hari ini sejak pagi tadi dengan aksi pelbagai kategori sehingga ke malam.
Ia akan disusuli dengan majlis perasmian kejohanan pada malam ini juga. - EDISI UKAS