WAK Sibu Angkat Warisan Melanau, Semarak Pelancongan Tempatan
SIBU: Festival ‘What About Kuching’ (WAK) Sibu 2026 membuka tirainya dengan mengetengahkan tema 'Celebrating Us: The Melanaus' sebagai usaha memberi penghormatan kepada warisan budaya salah satu kumpulan etnik utama di Sarawak.
Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Michelle Law Wan Ling telah menyempurnakan perasmian festival itu pada Jumaat yang berlangsung dari 12 hingga 14 Jun di Pusat Warisan Sibu dan Pasar Malam Sibu.
Menurut satu kenyataan media, festival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan gaya hidup yang bertujuan memupuk penglibatan komuniti serta merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Festival tahun ini turut menampilkan persembahan tarian dan muzik tradisional Melanau yang disusun khas bersempena tema pembukaan.
Selepas itu, program diteruskan dengan persembahan Citra Malaysia “Colours of Malaysia”: Pirin Kamek anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang mengetengahkan kepelbagaian warisan, seni dan tradisi Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Festival WAK, Donald Tan berkata festival berkenaan mencerminkan semangat komuniti yang menjadi tunjang penganjurannya.
“Festival ini milik masyarakat Sibu dan kami amat berterima kasih kepada Clarence Ting, majlis perbandaran dan semua rakan kerjasama yang percaya kepada kekuatan penganjuran berasaskan komuniti,” katanya.
Turut hadir Penolong Setiausaha Bahagian Acara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Nazari Bujang, Timbalan Pengarah JKKN Sarawak Norshyahrul Syafsaidatina Ismail, wakil Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Ivan Sia serta pengasas Festival WAK Marina Foo. -EDISI UKAS