RoboClash Challenge 2026 Cungkil Bakat, Semarak Minat Generasi Muda Dalam Robotik
SERIAN: RoboClash Challenge 2026 bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat, meningkatkan kemahiran serta menyemarakkan minat generasi muda Sarawak dalam bidang robotik, teknologi dan inovasi.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Dewan Masyarakat Serian pada Sabtu mendapati penganjuran program tersebut mendapat sambutan positif daripada peserta, guru dan ibu bapa yang melihatnya sebagai medium berkesan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai teknologi masa depan serta menggalakkan pembelajaran berteraskan inovasi.
Peserta kategori RoboMaster dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan, Sylvian Libau, 17, berkata penyertaan kali kedua dalam pertandingan itu memberinya peluang menimba pengalaman berharga, khususnya dalam aspek strategi, komunikasi dan kerja berpasukan.
Menurutnya, cabaran utama dalam kategori RoboMaster adalah memastikan setiap ahli pasukan dapat berkomunikasi dengan baik dan melaksanakan strategi yang dirancang ketika berdepan pasukan lawan.
“Saya berusaha sehabis baik untuk tidak membuat kesilapan kerana satu kesalahan kecil boleh memberi implikasi yang besar dalam pertandingan ini,” katanya.
Sylvian yang meminati permainan video turut memanfaatkan kemahiran refleks dan strategi yang dipelajari melalui permainan tersebut sebagai persediaan menghadapi pertandingan.
Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duan, Abuza Zaishahrudin, 40, berkata penyertaan dalam pertandingan robotik memberi peluang kepada murid luar bandar untuk memperoleh pengalaman dan pendedahan yang sukar diperoleh melalui pembelajaran biasa di sekolah.
“Walaupun sekolah kami berada di kawasan pedalaman dan berdepan kekangan tertentu, kami tetap berusaha membawa pelajar menyertai pertandingan bagi memberi mereka pendedahan serta pengalaman baharu,” ujarnya.
Beliau yang membawa tiga pasukan bagi kategori Sumo Robot memaklumkan bahawa murid-muridnya telah menjalani latihan berterusan serta menyertai pelbagai aktiviti berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain menghasilkan sendiri robot yang digunakan dengan memanfaatkan kemudahan pencetak tiga dimensi (3D) di sekolah.
Dalam pada itu, guru SK Tringgus, Bau, Mclaine Nawis, 39, berkata penyertaan tujuh murid sekolah tersebut dalam kategori Drone Soccer dan Drone Obstacle membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang teknologi yang jarang didedahkan kepada pelajar luar bandar.
“Saya sungguh gembira kerana pertandingan ini memberi peluang kepada murid-murid kami meneroka sesuatu yang baharu dan menimba pengalaman yang tidak diperoleh di bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata walaupun tempoh latihan agak terhad, murid-murid menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi serta mampu berkolaborasi dengan baik sepanjang persiapan pertandingan.
Bagi bapa kepada salah seorang peserta pertandingan yang ditemui, Frederick Wilton, 39, penganjuran RoboClash dilihat sebagai inisiatif yang mampu membantu membentuk minat generasi muda terhadap bidang teknologi dan inovasi.
“Pertandingan seperti ini sangat baik kerana dapat memberi pendedahan kepada anak-anak tentang perkembangan teknologi yang semakin penting dalam kehidupan masa kini,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi peluang kepada anaknya menyertai pertandingan tersebut, selain menyifatkan penglibatan dalam program robotik telah membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran sosial anaknya.
Terdahulu, RoboClash Challenge 2026 Peringkat Akhir menghimpunkan lebih 350 peserta dari seluruh Sarawak selepas siri pertandingan di Bintulu dan Sri Aman sebelum kemuncaknya di Serian.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Sumo Robot Challenge, Mini Drone Obstacle Race, RoboMaster Challenge dan Drone Soccer Competition.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie