Permohonan Pelajar Sarawak Ke KPTM Terus Meningkat
KUCHING: Permohonan pelajar Sarawak untuk melanjutkan pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi terhadap institusi pendidikan di bawah MARA itu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, peningkatan tersebut didorong oleh pendedahan yang lebih meluas menerusi Program Jelajah Pendidikan Tinggi atau Higher Education Information Tour Series (HITS).
Beliau berkata, KPTM menyasarkan kemasukan 5,000 pelajar dari Sarawak tahun ini selain merancang untuk membuka kampus di negeri ini.
"Itu dalam perancangan kita dan KPTM dalam proses untuk mendapatkan dan dalam proses prosedur untuk beroperasi di negeri Sarawak bagi memudahkan lagi serta menarik lebih ramai lagi pelajar-pelajar Sarawak untuk mendapat pendidikan di bawah KPTM.
"Kursus-kursus ataupun bidang yang dianjurkan hampir sama dengan peluang pendidikan seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) iaitu di universiti-universiti di negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Higher Education Information Tour Series (HITS) di Plaza Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Datuk Rubiah berkata, jumlah permohonan dari Sarawak sebelum ini yang kurang daripada 500 telah meningkat kepada lebih 1,800 permohonan tahun lalu, manakala setakat Jun tahun ini melebihi 1,000 permohonan.
Menurutnya, KPTM menawarkan pelbagai program diploma manakala Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menawarkan program ijazah dalam bidang profesional termasuk Teaching English as a Second Language (TESL), e-sukan, perakaunan, sistem maklumat dan pendidikan awal kanak-kanak.
Tambah beliau, KPTM dan UPTM kini menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak bagi membolehkan pelajar negeri ini menerima bantuan Pendidikan yang disediakan Kerajaan Negeri seperti pelajar universiti lain memandangkan KPTM di bawah MARA bukannya Kementerian Pendidikan Tinggi
Menurutnya, pelajar yang berjaya memasuki di antar dua institusi kini boleh memohon dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Kerajaan Sarawak. -EDISI UKAS