Projek Pembangunan Tebingan Sungai Tambirat Masih Dalam Penilaian Semula
KUCHING: Projek pembangunan Tebingan Sungai Tambirat yang terbengkalai sejak dua tahun lalu kini masih dalam proses penilaian semula selepas siasatan teknikal berkaitan keruntuhan struktur projek tersebut selesai dijalankan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, siasatan berhubung insiden berkenaan telah selesai dan kini berada dalam peringkat pertimbangan pihak berkaitan bagi menentukan tindakan susulan.
"Saya dimaklumkan siasatan dah tamat dan masih lagi dalam pertimbangan Peguam Besar Sarawak sebab kita nak bawa kes ini ke peringkat yang lebih lebih tinggi maksudnya ke peringkat mahkamah.
"Namun begitu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) telah pun menilai balik ’Bill of Quantities’ (BQ) ataupun spesifikasi untuk memastikan projek ini diteruskan diteruskan, ini proses yang berlaku pada masa sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Higher Education Information Tour Series (HITS) di Plaza Merdeka, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Rubiah, projek berkenaan telah mencapai tahap kemajuan melebihi 50 peratus sebelum mengalami keruntuhan yang memberi kesan besar kepada keseluruhan struktur.
Tambah beliau, keadaan hakisan yang semakin serius di kawasan berkenaan turut menyebabkan kos tambahan diperlukan bagi membolehkan projek itu disiapkan.
Datuk Rubiah memberitahu, siasatan tidak hanya melibatkan pihak dalaman malah turut mendapatkan khidmat pakar dari Semenanjung bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tegasnya, projek Tebingan Sungai Tambirat masih diperlukan oleh penduduk setempat dan berharap tindakan segera dapat dilaksanakan selepas semua proses penilaian serta keputusan berkaitan dimuktamadkan. -EDISI UKAS