Kabong Perlu Bersedia Hadapi Status Daerah Menua Menjelang 2028
KABONG: Daerah Kabong perlu bersedia menghadapi fenomena penuaan penduduk yang semakin ketara menjelang tahun 2028.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, berdasarkan data terkini, Kabong kini berhadapan dengan trend peningkatan populasi warga emas yang memerlukan perhatian dan tindakan proaktif daripada semua pihak.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) serta Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sentiasa komited dalam menyediakan dasar, program dan latihan bagi menghadapi status negeri menua menjelang tahun 2028.
"Saya menyeru semua pihak agar memandang serius tanggungjawab dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara," katanya ketika berucap dalam Kursus Penjagaan Asas Warga Emas Siri 1/2026 di Dewan Balai Polis Kabong pada Sabtu.
Dato Mohd Chee menjelaskan mengenai Kursus Penjagaan Asas Warga Emas yang diperkenalkan sejak tahun 2023 itu merupakan antara usaha proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu penuaan dan melahirkan penjaga warga emas yang berkemahiran dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga hala tuju utama yang perlu diberi perhatian selepas tamat kursus.
Pertama, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran mengenal pasti dan membangunkan profil warga emas di kawasan masing-masing bagi memudahkan pemantauan kebajikan, tahap kesihatan serta keperluan sokongan yang diperlukan.
Kedua, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat digalakan mempergiat aktiviti sosial dan sokongan moral bagi memastikan warga emas terus aktif, sihat dan tidak terpinggir dalam komuniti.
Ketiga, para peserta yang telah menerima latihan digalakkan menjadi barisan hadapan dalam membantu warga emas apabila berlaku kecemasan atau keperluan penjagaan khas di kawasan kejiranan masing-masing.
Beliau menegaskan, walaupun sokongan daripada pelbagai agensi dan institusi akan terus diperkukuhkan namun kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada keprihatinan, ilmu dan kerjasama masyarakat setempat. -EDISI UKAS