Geran MRP RM300,000 Disalur Kepada 32 Organisasi, Perkasa Pembangunan Komuniti Mukah
MUKAH: Sebanyak RM300,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 32 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah panjang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), rumah ibadat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Parlimen Mukah.
Penyerahan geran tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib dalam Majlis Penyerahan Projek Khas MRP Tahun 2026 di Pusat Khidmat Masyarakat P.213 Mukah pada Sabtu.
Menurut Dato Hanifah, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan komuniti dan menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan, keagamaan serta kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, setiap organisasi yang menerima bantuan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan diharapkan dapat menguruskan geran yang diterima secara amanah, telus dan berhemah demi kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat memperkukuh program pendidikan melalui PIBG, memperkasa aktiviti keagamaan di rumah ibadat serta meningkatkan pelaksanaan program pembangunan masyarakat oleh NGO dan JKKK.
Selain itu, Dato Hanifah mengajak masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan Program Niti Daun Mukah 2026 yang akan berlangsung pada 20 Jun ini.
Ujarnya ia adalah platform mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk perpaduan dan memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Pemanca Mohamad @ Mohd Jali Kawi.-EDISI UKAS