Kuota Pengajian Perubatan Tidak Terisi Sepenuhnya, Anak Sarawak Diseru Rebut Peluang
SIBURAN: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) menyeru agar lebih ramai anak Sarawak merebut peluang pendidikan yang disediakan kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak kini bukan sahaja menyediakan 64 bidang kursus percuma, malah giat membuka peluang-peluang baharu namun masih kurang dimanfaatkan oleh rakyatnya.
“Antara bidang yang diberikan tumpuan termasuk perubatan. Ketika ini, kita mempunyai kerjasama dengan UNIMAS untuk menghantar anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Kita menyasarkan seramai 50 pelajar setiap tahun, namun pada tahun ini hanya 30 orang yang layak.
“Persoalannya, ke mana baki 20 orang lagi? Mereka tidak muncul dalam senarai calon yang memenuhi syarat. Ini merupakan satu kerugian kerana peluang yang disediakan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pengangguhan Program Randau Komuniti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) 2026, di Kampung Menjau di sini, pada Sabtu.
Selain bidang perubatan, Dato Sri Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat memaklumkan, Sarawak akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang baharu pada masa hadapan termasuk bidang aeroangkasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak Sarawak menyahut seruan kerajaan untuk menceburi bidang-bidang yang ditawarkan, sekaligus merealisasikan impian kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan pada masa hadapan.
Hadir sama, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pemangku Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari, wakil Pegawai Daerah Serian Jeff Currant James Engkapan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS