16 Pasukan Berentap Dalam Liga Sukan Komuniti Samarahan
ASAJAYA: Seramai 16 pasukan dari Bahagian Kuching dan Samarahan menyertai Pertandingan Futsal Rakan Aktif Liga Sukan Komuniti Bahagian Samarahan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Tambirat Lot dan Gelanggang Futsal Tambirat Ulu, pada Sabtu.
Penganjuran kejohanan tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan di samping memperkukuh hubungan komuniti menerusi platform yang sihat dan kompetitif.
Pertandingan futsal itu melibatkan lapan pasukan di setiap gelanggang dengan semua pasukan mempamerkan aksi bertenaga serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.
Selain futsal, Liga Sukan Komuniti Bahagian Samarahan turut mempertandingkan acara bola jaring wanita di Padang Sekolah Pangkalan Quop serta bola tampar lelaki di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Abdul Razak, Kota Samarahan.
Pasukan yang muncul Johan dan Naib Johan bagi setiap acara akan mewakili Bahagian Samarahan ke Liga Sukan Peringkat Negeri Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada atlet komuniti untuk mengetengahkan bakat masing-masing di pentas yang lebih tinggi.
Bagi pertandingan futsal, pasukan Johan membawa pulang wang tunai RM500, manakala Naib Johan menerima RM300 dan tiga pasukan terbaik seterusnya masing-masing menerima RM200 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Program berkenaan dilihat bukan sahaja berjaya memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform penting untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti dari pelbagai kawasan. -EDISI UKAS