ADUN Opar Sumbang Penghawa Dingin Untuk Bilik Guru SK Opar
BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menyumbangkan sebuah unit penghawa dingin untuk kegunaan bilik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Opar bagi meningkatkan keselesaan dan kebajikan warga pendidik.
Penyerahan sumbangan tersebut dilakukan sempena Program Gotong-Royong Perdana SK Opar pada Sabtu yang menghimpunkan guru, ibu bapa dan komuniti setempat dalam usaha menceriakan persekitaran sekolah.
Billy semasa berucap berkata, pendidikan sentiasa menjadi antara aspek yang diberi perhatian kerana ia merupakan asas penting dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
Beliau turut menggesa ibu bapa agar terus memberikan sokongan kepada anak-anak dalam bidang pendidikan demi memastikan mereka memperoleh peluang terbaik untuk mencapai kejayaan.
Katanya, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin setempat amat penting dalam memastikan kemudahan pendidikan sentiasa berada pada tahap terbaik serta mampu menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada murid.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bau Matthew Abok dan Guru Besar SK Opar Valentine Roland Thua. -EDISI UKAS