Niti Daun Gawai Simunjan Diangkat Dalam Kalendar Rasmi Tahunan
SIMUNJAN: Program Niti Daun Gawai Dayak Peringkat Daerah Simunjan akan dimasukkan secara rasmi ke dalam kalendar aktiviti tahunan daerah sebagai langkah memperkasa warisan budaya serta memperluaskan promosi identiti Simunjan di peringkat yang lebih luas.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, keputusan tersebut diyakini mampu meningkatkan liputan promosi budaya tempatan selain berpotensi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke daerah berkenaan pada masa hadapan.
Menurut beliau, penganjuran Niti Daun Gawai bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi platform penting dalam memelihara adat resam, memperkukuh perpaduan masyarakat serta memastikan warisan budaya terus diwarisi generasi akan datang.
“Tema pada tahun ini, ‘Nyambung Adat Lama Ngerembat Jalai Baru’, amat bertepatan dengan aspirasi masyarakat masa kini.
“Ia mengingatkan kita bahawa walaupun kita meneroka peluang baharu dalam era moden dan teknologi maklumat, kita tidak boleh melupakan adat budaya serta nilai warisan yang menjadi asas kekuatan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Niti Daun Gawai Dayak Peringkat Daerah Simunjan Edisi Ke-2 Tahun 2026, pada Sabtu.
Program yang berlangsung meriah itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 pengunjung serta penyertaan 31 kontinjen dari pelbagai kampung dan komuniti di sekitar Simunjan, Sadong Jaya, Terasi dan Sungai Buluh.
Perarakan kebudayaan yang menjadi acara utama program menyerlahkan keunikan adat resam dan identiti masyarakat Dayak, manakala Pertandingan Kumang Gawai turut menjadi antara tarikan utama sambutan tahun ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan wakil Residen Bahagian Samarahan Janfytria Abu Bakar. -EDISI UKAS