Lampu Jalan Solar Baharu Tingkat Keselamatan Penduduk Kampung Pasir Lutong
MIRI: Penduduk Kampung Pasir, Lutong bakal menikmati kemudahan pencahayaan yang lebih baik menerusi pemasangan tujuh unit lampu jalan solar di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dengan peruntukan berjumlah RM50,000.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, projek tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan penduduk, khususnya pada waktu malam.
“Peruntukan ini diperoleh susulan permohonan yang dikemukakan oleh penduduk kampung yang memerlukan penambahbaikan kemudahan pencahayaan di beberapa laluan utama kawasan tersebut,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di kampung tersebut, baru-baru ini.
Datuk Sebastian menjelaskan pemasangan lampu jalan solar itu akan membantu mengatasi masalah pencahayaan yang kurang memuaskan di beberapa kawasan kampung, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut pada waktu malam.
“Lampu jalan solar bukan sahaja menjimatkan tenaga dan mesra alam, malah mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih rendah. Ia merupakan salah satu langkah penting ke arah pembangunan komuniti hijau,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat penduduk yang berjalan kaki pulang ke rumah selepas waktu bekerja dan sebelum ini terpaksa melalui laluan yang gelap serta kurang selamat.
Justeru, beliau yakin pemasangan lampu jalan solar tersebut akan meningkatkan tahap penglihatan di kawasan berkenaan serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa untuk komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pasukan pusat khidmatnya akan terus memantau perkembangan projek tersebut serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan dapat dimanfaatkan oleh penduduk dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, peningkatan kemudahan asas di kawasan luar bandar amat penting dalam menyokong pembangunan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sehubungan itu, ujar beliau, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan menerusi RTP dan inisiatif lain bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Hadir sama, Ketua Pemuda SUPP Cawangan Miri (Piasau) merangkap Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Leslie Lau, Setiausaha Sulit kepada Datuk Sebastian Chia Kah Furng, wakil MCC, kontraktor projek serta wakil komuniti setempat.- EDISI UKAS