Gangguan Bekalan Elektrik Dilaksana Secara Berperingkat Bagi Laluan Pengangkutan Turbin Gas PETROS di Miri
MIRI: Gangguan bekalan elektrik yang dijadualkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Miri pada Sabtu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna susulan pengangkutan turbin gas PETROS ke tapak projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 500 megawatt (MW) di Lutong.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama pihak pengurusan dan jurutera Sarawak Energy selepas menerima banyak pertanyaan daripada penduduk berhubung notis gangguan bekalan elektrik yang dijadualkan pada hari berkenaan.
Menurut beliau, Sarawak Energy bersetuju untuk tidak melaksanakan penutupan bekalan elektrik secara menyeluruh sehingga lapan jam di semua kawasan yang terjejas, sebaliknya melaksanakan gangguan secara berfasa mengikut pergerakan konvoi kenderaan yang membawa muatan bersaiz besar.
“Gangguan sementara bekalan elektrik ini diperlukan bagi membolehkan jentera dan peralatan PETROS melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik udara dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau pada Sabtu.
Dato Sri Lee menambah, pendekatan tersebut dapat mengurangkan tempoh gangguan bekalan elektrik kepada penduduk serta premis perniagaan yang terlibat.
Berdasarkan jadual terkini yang dikeluarkan Sarawak Energy, Fasa 1 bermula pada jam 12 tengah hari melibatkan kawasan Jalan Paradise dan sekitarnya dengan tempoh gangguan dianggarkan selama 30 minit.
Fasa 2 pula bermula pada jam 12.10 tengah hari melibatkan Jalan Pulasan, Jalan Marigold dan kawasan berdekatan dengan tempoh gangguan yang sama.
Sementara itu, Fasa 3 dijadualkan bermula pada jam 12.30 tengah hari membabitkan kawasan Chung Siong, Krokop Merikan, Senadin Jaya, Shell Tudan, Kampung Sealine, Kampung Senadin serta kawasan sekitarnya dengan tempoh gangguan kira-kira 30 minit.
Fasa 4 akan bermula pada jam 2 petang melibatkan Jalan Sealine 1, Jalan Senadin, Ban Hock dan kawasan berdekatan dengan tempoh gangguan sekitar 30 minit.
Konvoi berkenaan membawa turbin gas PETROS bagi projek Loji Janakuasa CCGT 500MW Miri yang telah tiba di Miri sebelum dihantar ke tapak projek di Lutong.
Pengangkutan peralatan industri bersaiz besar itu dilakukan dari Heng Da Wharf, Kuala Baram melalui beberapa laluan utama termasuk Lorong Perlis 3-1, Jalan Perlis 3, Jalan Universiti, Jalan Desa Senadin, Lorong Desa Senadin 2, Jalan Promin Jaya 3, Jalan Marigold, Jalan Lutong-Kuala Baram, Jalan Senadin dan Jalan Pantai.
Menurut Dato Sri Lee, ketibaan turbin gas tersebut dijangka mempercepatkan kemajuan pembinaan Loji Janakuasa CCGT Miri sekali gus meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan bekalan elektrik yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada Miri dan kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS