Institusi Pendidikan Tinggi Perlu Turun Padang Dekati Masyarakat
SARATOK: Institusi pendidikan tinggi tidak seharusnya hanya berperanan di dalam kampus, sebaliknya perlu turun padang mendekati masyarakat bagi berkongsi ilmu, peluang pendidikan dan aspirasi pembangunan masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak, khususnya dari kawasan luar bandar, mendapat akses kepada maklumat dan peluang pendidikan tinggi.
Beliau memuji penganjuran program Keterlibatan Komuniti Universiti i-CATS yang membuktikan komitmen kolej universiti itu dalam membawa pendidikan tinggi lebih dekat kepada masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk meneroka pelbagai peluang dalam bidang profesional dan teknologi.
“Mereka datang ke Saratok bukan sekadar membawa pameran, bukan sekadar memperkenalkan program pengajian, tetapi membawa harapan dan peluang kepada anak-anak muda kita.
“Mereka datang membawa mesej bahawa pendidikan tinggi adalah milik semua rakyat Sarawak.
“Mereka datang membawa keyakinan bahawa anak-anak dari Saratok, Kabong, Roban, Pusa, Debak dan kawasan luar bandar lain juga mampu menjadi jurutera, saintis, pakar teknologi, akauntan, usahawan, penyelidik malah pemimpin masa depan kerajaan Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut yang diadakan di Dewan Terbuka Sri Kalaka Saratok pada Sabtu.
Pelbagai pameran pendidikan dan inovasi turut diadakan sepanjang program bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai laluan pengajian serta kerjaya masa depan.
Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah pencipta teknologi dan peluang pekerjaan dalam bidang digital, kecerdasan buatan, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan industri masa hadapan.
Turut hadir Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pro Canselor UiTM Datuk Abdul Wahab Aziz dan Pegawai Daerah Saratok Mohamad Dino Amit.-EDISI UKAS