TYT Sarawak & Isteri Hadiri Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keputeraan Rasmi Agong Peringkat Sarawak
BETONG: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Masjid Jamek Betong pada Sabtu.
Majlis yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, penjawat awam dan masyarakat Islam setempat itu berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan penghayatan bagi menzahirkan rasa syukur serta taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan.
Hadir mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Kesejahteraan Komuniti), Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datu Mual Suaud serta tetamu kehormat lain.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardhu Maghrib secara berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Yaasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Ustaz Muhammad Ihsan Haidzir.
Suasana majlis kemudiannya diserikan dengan alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Betong yang menambahkan lagi penghayatan serta kemeriahan sambutan dalam suasana penuh harmoni.
TYT Sarawak bersama para jemaah kemudiannya menunaikan Solat Fardhu Isyak secara berjemaah sebelum majlis berakhir.
TYT Sarawak bersama Toh Puan Fauziah seterusnya menghadiri jamuan makan malam yang diadakan bagi memeriahkan lagi Majlis Kesyukuran.
Turut menghadiri jamuan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, serta tetamu jemputan lain.
Majlis Kesyukuran tersebut merupakan antara pengisian utama Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Bahagian Betong.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery