Forum Kesedaran Sosial Benteng Generasi Muda Hadapi Cabaran Era Digital
BELAGA: Forum Kesedaran Sosial Komuniti Belaga menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan pelajar dan ibu bapa, terhadap pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks dalam era digital masa kini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, usaha membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan perlu diberi keutamaan kerana mereka merupakan aset yang akan menentukan masa depan masyarakat dan negara.
“Jika kita membuat kesilapan pada generasi yang kita bentuk ini, ia akan memusnahkan harapan kita pada masa hadapan.
“Pada zaman ini musuh tidak datang secara fizikal, tidak seperti pada zaman dahulu dimana musuh datang secara fizikal tetapi pada era digital sekarang, musuh datang secara lembut/maya, bahkan datang menyampaikan sesuatu dengan cara yang dianggap baik,” katanya ketika merasmikan forum tersebut yang diadakan di Dewan Sri Jayong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK )Belaga, pada Sabtu.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak-anak serta menjalin komunikasi yang baik dengan pihak sekolah sekiranya terdapat perubahan tingkah laku yang membimbangkan.
Katanya, kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat amat penting bagi memastikan anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Katanya, kerjasama erat antara ibu bapa, sekolah dan masyarakat amat penting bagi memastikan anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Forum yang dianjurkan oleh Persatuan Bangsa Sekapan Belaga (PBSB) dengan kerjasama SMK Belaga itu melibatkan penyertaan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Tiga panel jemputan turut berkongsi pandangan berkaitan isu penyalahgunaan dadah, kesan negatif gejala sosial serta aspek perundangan iaitu wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga dan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Bintulu.
Selain sesi forum, program turut diserikan dengan pameran daripada AADK, Askar Wataniah dan ASEAN Institute of Nursing.
Pada majlis tersebut, Datuk Liwan turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Belaga serta RM30,000 kepada PBSB bagi menyokong pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti.-EDISI UKAS