Miassim 083 & Bunga Raya Wakili Samarahan Ke Peringkat Negeri
ASAJAYA: Pasukan Miassim 083 muncul juara Pertandingan Futsal Rakan Aktif Liga Sukan Komuniti Bahagian Samarahan sekali gus melayakkan diri mewakili Bahagian Samarahan ke Liga Sukan Peringkat Negeri Sarawak.
Kejayaan tersebut dicapai selepas Miassim 083 menampilkan aksi cemerlang dalam saingan yang melibatkan 16 pasukan dari Bahagian Kuching dan Samarahan di Gelanggang Futsal Tambirat Lot dan Gelanggang Futsal Tambirat Ulu, Asajaya.
Pasukan Bunga Raya pula muncul naib juara dan turut mengesahkan tempat ke kejohanan peringkat negeri, manakala Pasukan Sambat dan Pasukan XYZ U25 berkongsi kedudukan ketiga bersama.
Sebagai juara, Miassim 083 menerima hadiah wang tunai RM500, manakala Bunga Raya membawa pulang RM300, sementara Sambat dan XYZ U25 masing-masing menerima RM200 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Samarahan, Abu Zaid Abu Bakar.
Penganjuran kejohanan tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti sukan, memperkasakan amalan gaya hidup aktif serta menjadi platform mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan futsal.
Kejohanan itu turut menjadi medan mempererat hubungan silaturahim antara peserta dan komuniti setempat selain memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia. -EDISI UKAS