579 Lampu Pintar Jadikan Kampung Nombor Satok Lebih Selamat, Selesa dan Lestari
KUCHING: Pelaksanaan Projek Smart Street Lighting di Kampung Nombor Satok membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi penggunaan teknologi pintar yang menyokong pembangunan bandar mampan dan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif penting untuk mencantikkan kawasan kampung tradisional di Satok selain meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu dilaksanakan secara berperingkat oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), dengan fasa pertama bermula pada tahun 2020 melibatkan pemasangan 210 lampu LED, manakala fasa kedua yang bermula pada 2024 menambah 369 unit lagi.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 579 lampu pintar telah dipasang di Kampung Nombor Satok, menjadikan kawasan ini lebih terang, selamat dan menarik untuk didiami serta dikunjungi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Projek Smart Street Lighting di Kampung Nombor Satok, pada Jumaat.
Tambah beliau, selain projek yang dilaksanakan oleh DBKU, sebanyak 42 lampu jalan turut dipasang menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Satok di kawasan Green Road dan Ananas Road bagi melengkapkan kemudahan pencahayaan di kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan, penggunaan sistem lampu pintar membolehkan pemantauan dilakukan secara masa nyata menerusi paparan dashboard yang dibangunkan oleh DBKU, sekali gus memudahkan kerja penyelenggaraan dan tindakan segera sekiranya berlaku kerosakan.
“Jika berlaku sebarang masalah, sistem akan mengesan kerosakan dengan serta-merta dan pasukan DBKU boleh mengambil tindakan tanpa perlu menunggu aduan seperti sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata projek berkenaan turut menyokong aspirasi DBKU untuk memperkukuhkan pembangunan bandar pintar atau Smart City, selaras dengan usaha pihak berkuasa tempatan itu untuk mencapai tahap kedua pembangunan bandar pintar selepas berjaya memperoleh status ‘early adopter’.
Beliau turut berharap inisiatif seumpama itu dapat diperluaskan ke kawasan lain yang masih memerlukan kemudahan pencahayaan jalan demi meningkatkan keselamatan awam, mengurangkan risiko jenayah serta menjadikan kawasan perumahan dan kampung lebih kondusif untuk aktiviti riadah dan pelancongan komuniti.-EDISI UKAS