Sarawak Perkukuh Kerjasama Global Dalam Teknologi Hijau Dan Kelestarian Utiliti
SINGAPURA: Sarawak terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang utiliti, teknologi hijau dan kelestarian menerusi lawatan kerja rasmi ke Singapura yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mampan, pengurusan air serta penerokaan teknologi utiliti moden bagi menyokong agenda pembangunan lestari negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, lawatan tersebut merupakan platform penting untuk mempererat hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan utiliti dan daya tahan infrastruktur di Sarawak.
Beliau memulakan program rasmi dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Grace Fu.
Pertemuan itu menjadi medan bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai strategi memperkukuh daya tahan utiliti, khususnya dalam sektor air dan tenaga, selain membincangkan pendekatan ke arah mencapai matlamat kelestarian alam sekitar jangka panjang.
Terdahulu, Dato Sri Julaihi bersama delegasinya mengadakan lawatan teknikal ke Sustainable Tropical Data Centre Testbed (STDCT), sebuah fasiliti penyelidikan bersama yang diterajui oleh University National of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU).
STDCT menerokai pembangunan sistem penyejukan cecair dan hibrid yang cekap tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan air dalam operasi pusat data yang beroperasi di kawasan tropika beriklim panas dan lembap.
Teknologi yang dibangunkan di pusat tersebut dilihat berpotensi menyokong usaha Sarawak dalam memperluas penggunaan teknologi hijau serta meningkatkan kecekapan pengurusan utiliti dan infrastruktur digital negeri.
Turut mengiringi beliau ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Ir. George Lee, Pengurus Kualiti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ir. Ts. Tie Tung Ing serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Malseni Jamal.
Sementara itu, Dato Sri Julaihi dijadual menyampaikan ucaptama pada Singapore International Water Week (SIWW) 2026 di Sands Expo & Convention Centre pada 16 Jun ini.
Sejurus selepas itu, beliau akan merasmikan Pavilion Sarawak yang akan mempamerkan kemajuan dan pencapaian negeri dalam pengurusan utiliti kepada delegasi serta pengunjung antarabangsa sepanjang SIWW 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun.-EDISI UKAS