Persiapan Akhir Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 Diteliti
KAPIT: Persiapan akhir bagi penganjuran Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026 terus diperhalusi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang bakal menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, usahawan dan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit telah mengetuai lawatan kerja ke tapak program yang terletak bersebelahan Dewan Suarah Kapit, pada Isnin.
Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan tapak serta memastikan segala keperluan logistik, teknikal, keselamatan dan operasi berada pada tahap terbaik sebelum program berlangsung.
“Persiapan yang rapi melibatkan aspek , teknikal, keselamatan dan operasi amat penting bagi memastikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberikan keselesaan kepada semua pengunjung,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut meneliti persiapan pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan, gerai usahawan, Sarawak Kitchen, pentas utama serta lokasi pelbagai aktiviti komuniti yang akan diadakan sepanjang program tersebut.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara jabatan dan agensi yang terlibat dalam memastikan objektif Program Sarawakku Sayang sebagai platform penyampaian maklumat pembangunan, perkhidmatan kerajaan serta pengukuhan hubungan antara kerajaan dan rakyat dapat dicapai dengan jayanya.
Hadir sama, ketua-ketua serta wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam penganjuran Program Sarawakku Sayang Bahagian Kapit 2026. - EDISI UKAS