Projek Naik Taraf Klinik Kesihatan Tanjung Bijat Diluluskan
TANJUNG BIJAT: Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek naik taraf Klinik Kesihatan Tanjung Bijat dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kesihatan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 70 buah kampung di kawasan Tanjung Bijat dengan menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih selesa dan berkualiti kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Majlis Ngiling Tikai Gawai 2026 yang berlangsung di Rumah Gendi, Sungai Semilang pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Mong turut menyeru penduduk agar sentiasa menjaga kesihatan masing-masing terutama menjelang musim panas yang dijangka berlaku pada Julai nanti.
Menurutnya, masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan pengambilan air yang mencukupi serta mengutamakan kesejahteraan keluarga bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan akibat cuaca panas.
Selain itu, beliau turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus kewangan keluarga dengan baik bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Gendi serta RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Gendi, Sungai Semilang. -EDISI UKAS