Salah Laku Guru Tidak Sepatutnya Berlaku, Perlu Perkukuh Kesedaran dan Pemantauan Di Sekolah
SIBURAN: Dakwaan salah laku melibatkan seorang guru di Lawas yang tular di media sosial baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku dan memerlukan perhatian serius daripada pihak sekolah serta semua pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun kes seumpama itu bukan sahaja berlaku di negara ini malah turut berlaku di negara lain, langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.
“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana saya sebagai seorang peguam telah melihat pelbagai kes yang berlaku, bukan sahaja di negara kita tetapi juga di negara lain.
“Ini adalah hal manusia dan kita memang tidak mahu perkara ini berlaku, tetapi ia berlaku,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan salah laku seorang guru di Lawas dalam Program STEM Catalysts 2026 Grand Celebration di SMK Padawan pada Isnin.
Menurutnya, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah memperketat pemantauan di sekolah, khususnya oleh pihak pentadbiran sekolah yang bertanggungjawab memastikan warga pendidik dan pelajar memahami batasan serta tingkah laku yang sewajarnya.
Dato Sri Roland turut menegaskan, pendidikan dan kesedaran mengenai perkara yang salah serta tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku perlu diberikan secara berterusan kepada kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar.
Terdahulu, beliau menghadiri program STEM Catalysts 2026 Grand Celebration di SMK Padawan yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negeri, termasuk kawasan bandar dan luar bandar.
Ujarnya, program STEM Catalysts kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan terus mendapat sambutan positif daripada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS