KUCHING: Isu vandalisme dan kecurian kabel yang menjejaskan kemudahan awam perlu ditangani secara lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pelaku jenayah, malah pihak yang membeli barangan curi tersebut.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan Petros) Datuk Ibrahim Baki berkata, permintaan terhadap kabel curi menjadi antara faktor utama yang mendorong kegiatan berkenaan terus berlaku walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mempergiatkan pemantauan serta menjalankan siasatan sehingga ke peringkat pembeli atau rangkaian yang terlibat dalam urusan jual beli kabel curi.
“Kalau tiada pembeli, tiadalah penjual. Sebab itu kita perlu melihat keseluruhan rantaian kegiatan ini dan bukan hanya menangkap individu yang mencuri kabel,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Projek Smart Street Lighting di Kampung Nombor Satok, pada Sabtu.
Beliau turut menggesa pihak polis dan agensi berkaitan meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan di kawasan yang sering menjadi sasaran kecurian kabel, termasuk lokasi kemudahan awam yang menggunakan sistem pencahayaan dan bekalan utiliti.
Katanya, antara kawasan yang pernah terjejas ialah Jambatan Datuk Amar Juma'ani , namun langkah keselamatan seperti pengawal keselamatan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilaksanakan secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan DBKU telah menerima peruntukan untuk memperluaskan pemasangan CCTV di beberapa lokasi strategik sebagai sebahagian usaha memperkukuh aspek keselamatan bandar dan melindungi harta awam.
Tambah beliau, kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada agensi berkaitan, malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang ramai apabila kawasan tertentu menjadi gelap serta meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan dan kejadian jenayah.
Beliau turut memuji usaha Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menggunakan teknologi pintar termasuk dron dan sistem pengesanan bagi membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik serta mengenal pasti premis yang terlibat dalam perlombongan mata wang kripto secara haram, sekali gus membantu mengurangkan kerugian dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.-EDISI UKAS