TYT Sarawak & Isteri Luang Masa Di Pasar Tamu Betong, Santuni Peniaga Tempatan
BETONG: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa mengunjungi Pasar Tamu Betong sebelum menikmati sarapan pagi di Gerai Bumiputera Majlis Daerah Betong (MDB), di sini, pada Ahad.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan sekitar jam 7 pagi disambut mesra oleh para peniaga serta pengunjung yang tidak melepaskan peluang beramah mesra dan merakam kenangan bersama pasangan berkenaan.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau berdua turut membeli beberapa barangan jualan peniaga tempatan sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti ekonomi komuniti setempat.
Selepas meluangkan masa di pasar tamu, mereka kemudiannya menikmati sarapan pagi di Gerai Bumiputera MDB dalam suasana santai dan penuh kemesraan bersama masyarakat.
Turut mengiringi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta tetamu lain.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Betong.
Beliau selepas itu dijadual menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan berkenaan yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. - EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery