Persatuan Berperanan Perkukuh Nilai Kekeluargaan & Perpaduan Komuniti
MIRI: Persatuan bukan sahaja berfungsi sebagai platform menghimpunkan ahli, malah berperanan penting dalam memupuk nilai kekeluargaan, memperkukuhkan perpaduan komuniti serta menjadi penghubung antara masyarakat dan kerajaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, peranan tersebut dapat dilihat menerusi pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh persatuan bagi menjaga kebajikan serta kepentingan ahlinya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Ibu Bapa dan Kutipan Dana anjuran Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Persatuan Kwong Wai Siew Bahagian Miri, di sebuah hotel terkemuka pada Sabtu.
Menurut beliau, Persatuan Kwong Wai Siew Miri telah memainkan peranan penting dalam melahirkan ramai bakat berkualiti menerusi pelbagai program pembangunan ahli termasuk penyediaan bantuan dan anugerah pendidikan.
“Berkat usaha gigih generasi terdahulu serta kerjasama ahli dari satu generasi ke generasi yang lain, persatuan ini terus berkembang maju dan kekal relevan sehingga hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menghargai jasa ibu bapa dan warga emas sebagai asas pembentukan keluarga yang harmoni serta masyarakat yang penyayang.
Katanya, kasih sayang terhadap ibu bapa perlu dizahirkan melalui tindakan dan bukan sekadar kata-kata, termasuk meluangkan masa bersama mereka serta menunjukkan keprihatinan dalam kehidupan seharian.
“Cara kita melayan ibu bapa dan menghormati orang yang lebih tua sentiasa diperhatikan oleh anak-anak. Sikap inilah yang akan menjadi contoh dan teladan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, nilai berbakti kepada ibu bapa merupakan warisan penting budaya masyarakat Cina yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya. -EDISI UKAS