Program Khas Perkasa Guru, Cetus ‘Game Changer’ Pendidikan Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang merancang memperkenalkan program khas pembangunan dan motivasi warga pendidik sebagai pendekatan baharu untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah-sekolah di bawah Parlimen Kota Samarahan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut akan menjadi satu perubahan besar dalam agenda pendidikan kawasan itu dengan memberi fokus kepada guru sebagai pemacu utama kejayaan dan prestasi sesebuah sekolah.
Menurutnya, jika sebelum ini pelbagai program lebih tertumpu kepada pembangunan pelajar termasuk program motivasi, kursus peningkatan akademik dan bimbingan peperiksaan, pendekatan pada tahun ini akan memberi penekanan kepada pengukuhan kapasiti serta motivasi guru.
“Jika sebelum ini kita banyak memberi tumpuan kepada kecemerlangan pelajar, kali ini kita mahu melaksanakan sesuatu yang lebih bersifat ‘game changer’ dengan memperkasakan guru-guru yang menjadi tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah.
“Kita bukan hanya mahu melihat pencapaian pelajar meningkat, tetapi juga mahu memperkukuhkan motivasi guru serta meningkatkan prestasi keseluruhan sekolah,” katanya
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perbincangan bersama pengetua dan guru-guru Tingkatan Enam sekolah-sekolah di bawah Parlimen Kota Samarahan, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kejayaan seseorang pelajar sememangnya bergantung kepada usaha dan kesungguhan individu, namun kecemerlangan sesebuah sekolah pula banyak dipengaruhi oleh komitmen, semangat serta kesepaduan warga pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Katanya, guru bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah menjadi pembimbing yang membentuk sahsiah, membina keyakinan diri dan mencorakkan masa depan generasi muda.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa sesi perbincangan tersebut diadakan bagi mengemas kini perkembangan semasa serta menyelaras pelaksanaan pelbagai program pendidikan yang dirancang sepanjang tahun 2026 demi memastikan agenda pembangunan pendidikan di Kota Samarahan terus diperkasakan.
Datuk Rubiah berharap kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa serta agensi berkaitan dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan yang dilaksanakan memberi impak positif kepada warga pendidikan dan pelajar di kawasan tersebut. -EDISI UKAS